Monday 6 June 2011

KU BERDOA PADAMU


Ya ALLAH,
Sunyi malam ciptaanMu telah menggamit hatiku untuk meluahkan pendaman yang telah lama kusimpan. Tenang angin hembusan malaikatMu menaikkan rasa sayu dan menambahkan keinginanku terhadap maghfirahMu. Namun aku sedar siapalah diri ini. Terlalu kecil untuk dipandang, terlalu hina untuk dikasihi, terlalu kotor untuk di dampingi Tuhan Yang Maha Agung.

Ya Tuhanku,
Jika dahulu, titisan air mata kekesalan sering dititiskan untukMu, namun kini aku tercari-cari ke mana hilangnya. Pastinya segala dendaman dosa telah menjadi kubu dan menghalang diri ini memperoleh ketenangan hakiki. Jika dahulu, kerap kali lidah ini memohon keampunanMu, tetapi kini anggota ini banyak sekali menyumbang dosa, kata-kata dusta dan sia-sia menjadi hiasan lisan yang meragut kesucian iman dan aku semakin tenggelam dalam lautan mungkar dan noda.

Ya Rahman,
Terasa benar hati ini sekeras batuan dipantai. Kalimah suci dari kitabMu tidak lagi berkesan untuk memberi keinsafan pada diri ini. Bingkisan nasihat dan teguran langsung tidak melekat pada dinding hati ini sebagai peningkat tahap keimanan kepadaMu. Sekalipun aku sedar, namun diri ini terlalu berat untuk memohon keampunanMu. Kadang-kala aku lupa, lalai dan selalu merasa sukar untuk mencapai keikhlasan dalam panjatan doa-doa seharian kepadaMu.

Ya Jabbar,
Segala perlakuan dan kata-kata dilontar tanpa menyedari Engkau Maha Melihat dan Maha Mendengar. Ibadat yang dilakukan tiada didahului dengan keinginan memperolehi REDHAMU. Aku seumpama melangkah jauh dariMu dan hakikatnya Engkau tidak pernah lupa padaku. Terbukti apabila nikmat dan kurniaan dariMU kekal Engkau anugerahkan. Pelbagai bentuk ujian Engkau turunkan agar diri ini sedar segala kesilapan dan kembali mendekatiMU. Dan di sinilah aku berteleku di atas hamparan usang menghadap kiblatMu, memohon keampunan yang tidak pasti kumiliki.

Ya Rahim,
Hinanya hambaMu ini.. Ya ALLAH, apabila jasad dan hati ini tidak tahan dengan ujian barulah diriMu didekati. Ke manakah hilangnya ikrar dan janji yang dilafazkan setiap hari untuk bergantung dan berserah diri kepada ALLAH setiap masa dan ketika? Adakah NERAKAMU yang bakal dihuni kerana keingkaran diri daripada menurut perintahMu. NA'UZUBILLAH MIN ZAALIK..

Ya Aziz,
Entah sampai bila aku harus berterusan begini… Kekadang patuh dan menumpahkan sepenuh cinta kepadaMu. Kekadang berlaku mungkar dan khianat pada janji sebagai hamba dan khalifahMu. Tetapkanlah IMAN DIHATI INI YA ALLAH… Dan bantulah aku untuk melakukan segala amanah sebagai hambaMu dan KHALIFAH di muka bumiMu. Lenturkanlah kekerasan hati ini dan kurniakanlah KEREDHAANMU..

Ya ALLAH,
Terimalah sebenar-benar pengakuan yang dilafazkan oleh hambaMu yang kejahilan ini. Seandainya hidupku ini hanya menambah MURKAMU dan membebankan diri ini dengan tanggungan dosa, Engkau bantulah diri ini untuk berubah kepada yang lebih baik. Sekiranya mati itu lebih baik bagiku, Engkau matikanlah aku dalam HUSNUL KHOTIMAH. Sesungguhnya Engkaulah TUHAN YANG MAHA MENGABULKAN SEGALA DOA DAN PERMINTAAN H
AMBAMU..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...