Monday, 6 June 2011

Jodoh itu KETENTUAN ILAHI

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang


Hari yang berlalu pergi, terlalu berharga buat diri
 
Hari berganti hari. Siang malam silih berganti. Hatta musim berlalu pergi. Itulah sunnah alam ini. Justeru, kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana masih diberi peluang menambah bekal sebelum dijemput ke ‘daerah abadi’. Sekejap sungguh masa berlalu. Moga Allah menilai setiap detik dengan belas kasihan-Nya.
 
 
Pelbagai berita, pelbagai cerita kita dengar. Rata- rata isu yang hangat diperkatakan tidak lain tidak bukan pastinya isu nikah, isu jodoh dan seangkatan dengannya. Maklumlah “Nikah connecting people”.

Sesungguhnya niat dan titik tolak setiap insan pada marhalah ini amat murni dan sangat suci jika setiap satunya tahu tanggungjawab yang bakal digalas. Melebarkan sayap dan mengembang zuriat buat Islam tercinta memerlukan manusia yang pantang menyerah pada keadaan dan ujian. Apatah lagi dalam mendefinasikan cinta dan melaksanakan mahligai ini. Terdetik pula hendak mencoret kata mengenai isu ini sebelum dilambakkan kenangan indah keluarga kami.


Adanya ikatan, maka bermulalah cinta.

Hari ini, tema dan persoalan cinta kian popular di kalangan masyarakat kita. Tak kira muda ataupun tua. Cinta atau bercinta bukanlah satu kesalahan, tetapi silapnya apabila seseorang itu mengunakan anugerah ini bukan untuk mengembangkan potensi diri mencari keredhaan Allah, sebaliknya melayani hawa nafsu yang disogokkan oleh musuh-musuh Allah. Telenovela demi telenovela cinta menghiasi hidup kita. Kita juga sudah dikelirukan dengan konsep cinta. Alhamdulillah baru-baru ini kebanyakkan blog sudah mengupas “Apa itu cinta sebenar?”. Setidaknya kita sudah mendefinasikan dengan apa yang Islam mahu.

Konsep cinta menurut perspektif Islam adalah cinta kita kepada Allah iaitu mahabatullah iaitu kita menjalankan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Cinta terbahagi kepada dua iaitu cinta makhluk kepada Pencipta dan cinta makhluk sesama makhluk atau dalam erti kata lain cinta sesama manusia. Bahkan cinta sesama manusia itu juga banyak tahapan dan semestinya harus disandarkan kepada Allah. Cinta antara bani adam dan hawa seharusnya diurus dengan kaca mata syarak. Apa yang Allah cipta tiada satu pun yang sia-sia.
 
Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.

(Surah Az-Zariyat : 49)

Mari kita renungi sebentar ayat 1 Surah An-Nisa’ untuk mengingatkan diri akan hakikat penciptaan diri dan kelangsungan manusia di muka bumi

“Wahai manusia, bertakwalah kepada Rabb kalian yang telah menciptakan kalian dari jiwa yang satu, dan Dia menciptakan daripadanya pasangannya, dan memperkembang-biakkan dari mereka berdua laki-laki dan perempuan yang banyak. Maka bertakwalah kepada Allah yang beserta-Nya kalian saling meminta satu sama lain, dan juga saling mengikat dalam kasih sayang. Sesungguhnya Allah Maha Mengawasi kalian.

Maka kelangsungan manusia di muka bumi dirai. Sangat dirai oleh Islam dengan menganjurkan pernikahan. Cinta itu diikat dengan ikatan yang sah dan hanya disuburkan selepas ikatan terbina dan tiada noktah untuk dihidupkan.

 

 Fitrah harus diurus, bukan dibiar ikut arus

Perkahwinan itu sunnah. Perkahwinan itu indah. Maka jangan dinodai dengan sesuatu yang keji dan jangan pula dibiar nafsu yang mengapalai. Namun realiti hari ini ramai sungguh mereka yang terlanjur sebelum pernikahan. Apabila disoroti laman-laman ustaz yang disegani, pelbagai persoalan praperkahwinan diberikan. Ada yang sudah pun berzina sebelum perkahwinan. Na’uzubillah. Moga Allah lindung Muslimin di jalan cinta para pejuang. Bahkan ini peringatan buat kita, sebarang hubungan sebelum perkahwinan hatta tempoh bertunang bukanlah greenlight untuk berdua-duaan. Masih belum ikatan sah. Jauhilah!!!

“Maka sesiapa yang membiarkan ikatan pertunangan dan era mudanya dicemarinya dengan 'ringan-ringan dan zina', ia membenihkan penyakit yang serius dalam hati. Tanpa taubat yang sebenar, Allah SWT akan membiakkan lagi peluang dan ruangnya untuk menjadi orang yang celaka, dan mendapat keluarga yang bakal runtuh, kecoh dan hancur. Kelaurga yang amat berpotensi melahirkan suami yang bermain kayu tiga, isteri bercinta dan zina dengan rakan sekerja, anak yang menjadi penzina muda di sekolah dan lain-lain bencana keluarga yang pastinya diakhiri dengan penceraian dan penderitaan anak-anak. Matinya si ibu bapa ini kelak, mungkin diiringi dengan celaan atau sorakan oleh anak-anak peninggalannya.” (1) UZAR

Maka, beringatlah wahai diriku dan teman-temanku.  
 
Merisik – antara cara mengurus cinta

Jika benar Sang Adam yakin si gadis untuk dirinya, usahlah teragak-agak. Segeralah. Gunakanlah jalan selamat lagi diredhai Allah. Dalam urusan jodoh laksanakanlah sebagaimana yang syarak anjurkan dengan jalan istkharah dan berbincang. Jika sudah serasi ambillah langkah yang diizinkan Allah iaitu berkhitbah (bertunang) dan saling setia pada janji yang dibina. Jika pinangan anda ditolak usah kecewa kerana untuk mendapatkan sesuatu yang istimewa sudah pasti jalannya berliku dan penuh cabaran. Usah malu dan putus asa teruskan berusaha. Jodohmu pasti ada.

“Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah kemudahan peminangannya dan kemudahan maharnya.”

(HR Ahmad)

Buat si gadis pula, ambillah masa untuk berfikir sedalamnya. Jika ditolak kerana alasan tidak bersedia. Maka tidakkah terfikir olehmu apa gunanya fatrah bertunang. Bukankah itu platform untuk anda bersiapkan diri? Kaum Adam pasti tidak mengemari jawapan anda, jika hanya berkata “Saya belum bersedia!”

Bertunang fatrah emas dan cemas

Jika sudah mengambil keputusan, sudah terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khitbah. Perlaksanaan khitbah dalam Islam ada pelbagai cara sebagaimana dicontohi dalam sirah (2)*

  1. Khitbah melalui keluarga si gadis
  2. Khitbah dengan menyampaikan secara langsung kepada si gadis bukan walinya
  3. Khitbah si gadis kepada lelaki soleh melalui orang tua atau kerabat atau dirinya sendiri
  4. Khitbah secara sindiran semasa iddah

Justeru, gunalah saluran-saluran yang ada (keluarga, orang tengah dan baitmuslim). Wanita punya maruah dan sifat malu dan lelaki pula selaku penjemput anda juga ada harga diri dan sikap ‘kelakian sejati’. Menjemput wanita biarlah kena cara.

Khitbah. Inilah tempoh emas untuk keduanya mengenali hati budi masing-masing, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak.

Inilah juga tempoh cemas, kerana banyak persiapan dan persediaan yang keduanya perlu lakukan. Dan tempoh ini jugalah pelbagai cubaan dan dugaan biasanya bertamu. Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. InsyaAllah jika kita memahami tujuan tertubuhnya sebuah ikatan rasmi, Allah akan permudahkan. 
 
Harapanku, harapanmu jua

Harapan Sinar, semoga Allah ukirkan takdir yang terindah untuk semua. Buat yang selalu berkongsi cerita, moga Allah mudahkan perjalananmu. Buat yang masih gelisah akan jodoh tak kunjung tiba, nasihatku bersabarlah. Allah masih memberi peluang untuk kita memanfaatkan masa muda ini dengan mengapai cita-cita seindah pelangi. Akhirul kalam, sama-sama mendidik diri supaya mampu memberi komitmen yang sebaiknya jika melangkah ke alam baru. Usah dirisau jika tiada, kerana Allah tahu apa yang terbaik untukmu. Jika jodohmu tidak di dunia, di syurga sana pasti ada.




 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...