Tuesday, 10 May 2011

Muslimah dan tudung labuhnya...



Seorang lelaki muslim yang bagus imannya akan terpaut hatinya kepada wanita muslim yang bagus imannya juga.  Begitu juga sebaliknya.  Ini adalah fitrah manusia.  Saling tertarik apabila mereka mempunyai ciri-ciri dan kualiti yang hampir sama.

Manusia tidak dapat menilai kebaikan seseorang manusia lain melainkan setelah mengenali di antara satu sama lain.  Jadi, perkara pertama yang menjadi ukuran seseorang pastinya melalui penampilannya.  Melalui penampilannya, seseorang dapat diukur secara zahir bagaimana peribadinya.  Samada seseorang itu baik, rajin, pandai, kelakar, garang, malas dan sebagainya masih belum pasti.  First impression comes first.

Awal-awal Bertudung Labuh

Wanita yang bertudung labuh atau dipanggil juga bertudung bulat memberi impressi (tanggapan pertama) bahawa dia wanita yang bagus agamanya.  Ia cuma impressi sahaja.  Belum tentu dia solehah atau tidak.  Dan kebiasaannya wanita yang memakai tudung labuh ini berlatar belakangkan sekolah agama.  Kerana mereka diwajibkan untuk memakai tudung labuh.

Ada sebahagian pelajar-pelajar agama ini, di sekolah mereka bertudung labuh.  Tetapi apabila berada di luar sekolah mereka tidak lagi mengenakan pada diri mereka tudung labuh.  Ada yang memakai tudung biasa sahaja.  Tudung tiga segi, malahan skaf pun ada.  Ada juga yang tidak menutup aurat secara sempurna, tetapi bilangan mereka sedikit sahaja.

Sekolah agama memberikan tarbiyyah.  Ia membentuk anak-anak didiknya agar berada di landasan yang betul.  Bagi pelajar muslimah di sekolah-sekolah agama, mereka diajar untuk menerapkan pakaian muslimah yang sejati pada diri mereka.  Ini bertujuan untuk merealisasikan tuntutan ISLAM dalam berpakaian khas untuk wanita beriman.

ALLAH subhanahu wata’ala telah berfirman dalam al-Quran berkaitan etika berpakaian wanita beriman yang maksudnya:

Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya…” (Surah ke-24 an-Nur, ayat 31)

Pelajar-pelajar sekolah agama ini dikehendaki memakai uniform sekolah dan bertudung labuh, baju kurung yang longgar (tidak ketat), jenis kain yang tidak nipis dan berstoking panjang.  Bukan itu sahaja, malahan hal batasan ikhtilat (percampuran lelaki & perempuan) turut diajar kepada mereka.  Lelaki dan perempuan dipisahkan tatkala makan di kantin, tangga khas lelaki-perempuan, aktiviti kurikulum & ko-kurikulum kebanyakannya dipisahkan antara lelaki-perempuan dan sebaginya.  Ini semua untuk dijadikan bekalan ilmu buat mereka serta mengamalkannya.

 Bukan semua yang gembira dengan peraturan ini.  Mereka terpaksa.  Tetapi, memang begitulah proses pentarbiyyahan perlu dilakukan.  Tanpa peraturan, mereka tidak akan patuh dengan kod pakaian yang ‘menyusahkan’ itu.  Mereka pastinya mahu bebas dan bersantai-santai dalam berpakaian.  Peraturan untuk berpakaian Islami ini adalah untuk kebaikan mereka sebenarnya.  Kebaikan yang diukur dari kaca mata agama.

Tahun demi tahun dalam keterpaksaan, lama-kelamaan mereka berasa selesa dengan bertudung labuh.  Malahan ada yang jatuh cinta dengan cara berpakaian tudung labuh pula.  Mereka membawa cara berpakaian yang penuh kesederhanaan ini ke luar sekolah.  Hatta, sehingga habis sekolah.  Sampai ke universiti, sampai ke alam pekerjaan.

Tetapi bilangan mereka yang tetap dengan tudung labuh tidak ramai disebabkan oleh beberapa faktor.  Antara faktor-faktornya ialah kesesuaian pekerjaan (nature of work), trend, fesyen, akibat keluarga dan sebagainya.  Yang paling penting ialah mereka MENUTUP AURAT dengan SEMPURNA.  Samada bertudung labuh atau tidak, bukanlah menjadi ukuran utama.  Kerana syariat hanya menyuruh mereka menutup aurat.  Asal sahaja sudah menepati syariat, nah silakan…


Pentingkah pandangan masyarakat jika sesuatu yang diperbuat itu betul?  Pentingkah untuk kita ambil pusing dengan kata-kata orang lain, jika apa yang kita amalkan menepati tuntutan syar’iyyah?  Tak perlu, bukan?  Saya sengaja melontarkan persoalan itu untuk sama-sama kita fikirkan.  Agar kita tetap dengan pendirian kita jika apa yang kita buat itu betul, walaupun barangkali ada yang berkata itu dan ini.

Ada sebahagian dalam masyarakat memandang wanita yang bertudung labuh ini ketinggalan zaman, kolot, tak moden, tak ikut trend dan sebagainyaNamun, ada sebahagiannya juga memandang hormat, tinggi, segan dan mulia kepada mereka ini.

Hampir 100% pandangan yang saya temui mempunyai pandangan yang kedua, iaitu memandang tinggi dan hormat kepada wanita yang bertudung labuh.  Malahan sebahagian yang tidak bertudung labuh ada yang menanam hasrat untuk bertudung labuh, tetapi segan dan malu disebabkan tidak pernah berpakaian seperti itu.  Mahu, tetapi malu.


 KESIMPULAN

Tulisan ini bukan ditulis tanpa tujuan.  Tulisan ini diharap dapat memberi motivasi kepada diri muslimah remaja yang berkira-kira ingin membuang tudung labuh dari tubuhnya.  Sebahagian mereka rasa ketinggalan zaman.  Rasa ‘takde orang nak’ orang yang bertudung labuh ini.  Rasa terpinggir dengan berpakaian tudung labuh ini.

Percayalah, cara berpakaian sedikit sebanyak boleh mengawal diri dari kita melampaui batas Dengan bertudung labuh, pasti akan ada setitik penyedar. Kita ingat siapa kita.  Kita tak mahu diri terfitnah.  Kita tak mahu agama terfitnah.

Janganlah dibuang tudung labuh itu dari tubuh kalian.  Kalian nampak ayu dan sopan bertudung labuh.  Kalian menimbulkan rasa ingin beragama di kalangan sebahagian manusia.  Samada lelaki atau wanita, rasa beragama tiba-tiba datang tatkala kalian muncul.  Yang paling penting ialah berpakaian seperti itu jika betul niatnya dan caranya, kalian akan diredhai ALLAH.

Akhir sekali, ingatlah!  Bahawa beramallah kerana ALLAH.  Ikhlas kerana ALLAH.  Ikut cara ALLAH.  Bermatlamatkan ALLAH.  Bukan disebabkan hal lain.  Mudah-mudahan kita semua digolongkan di dalam golongan solihin, amin…


BerNIQAB sambil berFACEBOOK

Ana sebenarnya dah lama nak tulis pasal perkara ni, tapi Alhamdulillah orang lain pun ada kesedaran yang sama, jadi Allah telah memudahkan kerja kita, moga2 perkongsian ni dapat diambil manfaatnya, diamalkan dan disebar2kan...
~wallahua'lam





Ramai orang tahu apa itu niqab. Bahasa popularnya dahulu adalah purdah. Antara bahasa yang kurang popular adalah cadar. Tapi ana memang tak pakai la perkataan cadar ni. Sebab cadar ana guna untuk kain yang menyelimuti katil. Tapi itu ana la ya. Ana selalu sebut niqab atau purdah sahaja.

Niqab ni, selepas ana baca dan kaji sikit, pengakhiran terhadap hukumnya ada dua. Yakni harus pakai, dan wajib pakai. Namun majoriti ulama’ berada di pihak harus pakai. Hanya kebanyakan ulama’ Arab Saudi sahaja yang mewajibkan, itu pun ada antara ulama’ saudi seperti Sheikh Nasiruddin Al-Bani menyatakan tidak wajib.
 
Ana bukan nak bahas fasal hukum. Saya cuma nak menyampaikan sesuatu berkenaan hal niqab.

Ini cetusan daripada sahabat saya di Jordan ini. Bermula dengan pertanyaan:

“Hilal, orang pakai niqab ni sebab tak mahu jadi fitnah. Jadi apa pandangan enta terhadap orang yang pakai niqab, tapi pergi tangkap gambar sendiri lepas tu letak kat facebook, friendster untuk tayangan ramai?”
 
Rasa aneh

Bicara sahabat ana tadi mengetuk minda ana. Benar, ana perasan akan situasi yang dia ceritakan itu. Ramai aje kalau ana melompat-lompat facebook atau friendster, hatta blog dan website pun, kelihatan gambar orang berniqab tapi kemudian tangkap gambar sendiri(gaya macam-macam la kan).

Kenapa buat begitu?
 
Ana rasa aneh.Tujuan pemakaian niqab, sama ada wajib atau harus, adalah untuk mengelakkan fitnah. Kalau dalam hukum wajib, niqab dipakai kerana perempuan itu menjadi sumber ujian kepada lelaki dan untuk memuliakan serta menjaga perempuan itu sendiri. Kalau hukum harus pula, niqab dipakai kerana mengelakkan fitnah kepada diri dan orang sekeliling. Contohnya kalau dia terlalu cantik, maka dia perlu memakai purdah agar kurang sedikit perhatian orang kepadanya. Ditakuti, perhatian orang itu akan menimbulkan fitnah.

Tapi, kenapa tangan gambar dengan pelbagai aksi dan angle kalau tujuan memakai niqabnya adalah seperti tadi? Kemudian letak pula di tempat yang menjadi tontotan ramai?

Ana  rasa aneh.

Kenapa pakai niqab?

Ana tidak mahu bergerak jauh dalam perbahasan yang orang putih kata complicated. Ana tak suka macam itu. Maka ana senang mengajak wanita-wanita yang memakai niqab, yang berhajat memakai niqab untuk muhasabah kembali niat mereka memakai niqab itu sendiri.

Kenapa pakai niqab?

Jika nak dapat redha Ilahi, jika hendak menjaga diri dari fitnah, apakah pantas kita menangkap gambar dan meletakkanya di web sosial untuk tontonan umum?

Melainkan, kalau kita pakai niqab ini, tujuannya agar nak orang puji kita ini beriman tinggi sebab mampu pakai niqab, tujuannya nak orang beri perhatian pada kita sebab kita ni pakai niqab, tujuannya agar ada orang tertarik dengan kita sebab orang pakai niqab ni selalunya orang claim sebagai solehah.

Kenapa pakai niqab?

Ini titik permulaan sebenarnya, yang kita kena lihat semula.
 
Atas dasar apa kita memakai niqab?
 
Ikut-ikut? Tuntutan? Kepopularan? Hendakkan perhatian? Kewajipan
 
Imej

Kenapa saya tergerak memanjangkan hal ini di dalam website?Kerana imej Islam sedang terlekat pada orang yang memakai niqab, lebih berat dari orang lain. Ya lah, apabila memakai niqab, orang akan kata kita ni beriman kuat, thiqah, sungguh-sungguh amal Islam. Itu pandangan kebiasaan orang.

Justeru, apabila kita dipandang sedemikian rupa, kemudian kita pula melakukan sesuatu yang diluar pandangan orang itu, maka pastinya akan menimbulkan fitnah kepada Islam.
“Ish, ada patut dia buat camtu? Dia dah la pakai niqab”
 “Pakai niqab, tapi sembang dengan lelaki macam biasa aje”
“Pakai niqab pun nak tangkap gambar lebih-lebih ke?”
 Orang akan perhatikan dari segenap penjuru. Kita boleh kata dengan mudah: “Saya pun manusia” Tapi pada saya, bukan semua akan mendengar alasan itu. Mereka yang tidak faham Islam, akan memandang buruk Islam hanya kerana sikap pemakai niqab.

Tujuan niqab adalah untuk menutup fitnah, tapi kita dengan niqab, membuka fitnah baru yang lebih buruk.

Sebab itu, balik semula kepada niat tadi.

Kenapa pakai niqab? Dari niat inilah kita berusaha menetapkan diri kita sebenarnya. Barangsiapa yang niat hijrahnya kepada Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya akan bergerak kepada Allah dan rasul-Nya.
 
Pakai, pakai dengan serius
 
Artikel ni, bukan suruh tanggal niqab ya. Cuma saya mengajak mereka yang memakai niqab, mereka yang berhajat memakai niqab, agar memakainya dengan kefahaman, dengan penuh keseriusan.
 
Jangan jadikan Niqab ini fesyen.
 “Orang solehah dia pakai niqab”
 “Orang dakwah-dakwah ni, kena pakai niqab”

Tidak. Jangan begitu. Kalau kamu pakai niqab kerana itu, maka niqab kamu sudah menjadi fesyen, bukan lagi kerana mendapat redha Allah, bukan lagi kerana ingin menutup fitnah. Niqab kamu nanti hanya sekadar menjadi – trend orang dakwah. Kenapa pakai? Sebab kalau nak berdakwah, kena pakai niqab baru nampak macam pendakwah.

Jangan.!!

Tak pakai niqab bukannya tak solehah ana agak terkilan dengan sebahagian orang yang memakai niqab, memandang rendah mereka yang tidak memakai niqab. Tak pakai niqab juga, bukanlah tidak boleh berdakwah dan berada atas jalan tarbiyah. Sejak bila, niqab menjadi lesen untuk semua itu?

Bagi yang memakai niqab, teruskan dan perbaiki peribadi kamuKamu menjadi pandangan dan perhatian manusia lain. Ada yang ingin menghina, maka kamu jagalah diri dari hinaan kamu. Ada yang ingin mencontohi, maka kamu usahakan agar mereka contohi kamu. Ada yang ingin menghargai, mempercayai, maka kamu jangan khianati penghargaan dan kepercayaan mereka.

Seriuslah kalau benar niatnya untuk menjaga diri dari fitnah, mendapat mardhatillah. Jaga diri, jaga akhlak, jangan melakukan perkara yang terang menimbulkan fitnah. Sememangnya adat orang yang mengamalkan sesuatu yang ghuraba’, dia akan diperhatikan dan musuh menanti-nanti celahan yang boleh membuatkan dia jatuh. Lebih buruk lagi, kejatuhannya memburukkan pula Islam.

Maka, pakailah dengan serius.

Ana ulang, dengan serius. Bukan sebab main-main, bukan sebab ikut, bukan sebab trend, bukan sebab fesyen.

Penutup: Sama-sama islah diri sebenarnya

Artikel ini, bukanlah nak kata perempuan yang tak pakai niqab tu tak payah jaga diri, boleh siar gambar macam-macam angle dan melakukan apa yang saya kata pada pemakai niqab tadi tak patut buat.

Sama sahaja tuntutan yang tak pakai niqab dengan yang pakai niqab. Cuma kenapa ana tekankan hal ini kepada yang berniqab? Adalah kerana orang yang pakai niqab ni, orang pandang lebih, orang ingat iman mereka tinggi, orang rasa mereka faham agama banyak. Jadi bila mereka buat something yang tak kena dengan Islam, orang akan salahkan Islam.

Bagi yang tak pakai niqab, ana tak suruh anda pakai niqab kalau tak perlu.Tapi kalau anda nak pakai, itu terpulang kepada anda. Cuma kalau nak pakai, perhatikan niat, pakai dengan serius. Dan bukanlah kalau anda tidak memakai niqab, bermakna anda boleh buat sesuka hati sahaja.

Semua perempuan kena jaga diri, kena pelihara diri, kena sayang dengan kebersihan diri sendiri.

Siapa yang tidak suka akan keluarga yang bersih, terpelihara, serta mendapat redha Allah SWT?

Sama-samalah kita menjaga diri kita.

Anda dan ana. Perempuan dan lelaki.

Sama-sama kita perbaiki diri kita.
 
 
 
 
 

Aku Mecintaimu kerana Agamamu

CINTA yang bertandang di lubuk hati setiap insan itu fitrah yang merupakan anugerah dari Sang Maha Pencipta. Hakikatnya asal kejadian CINTA itu bersih dan suci, tetapi malangnya ia dicemari oleh debu-debu maksiat yang dicipta oleh manusia itu sendiri. Terkadang ana berfikir sendiri untuk apa menikmati CINTA sebelum berkahwin? bimbang ia akan menjadi tawar dan hambar. Bukankah itu menghilangkan barakah dan kemanisan di alam rumah tangga kelak.


Jika ditanya pada setiap orang tentang impian masing- masing dalam membina rumahtangga jawapan yang diterima pasti adalah ingin membina ' BAITUL MUSLIM". Ana sendiri impikan sebuah baitul muslim sebagai wasilah untuk peningkatan hidup juga mampu memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada agama. Tetapi bagaimana untuk membina baitul muslim andai di permulannya sudah dicemari. Barakah yang Allah S.W.T janjikan itu hanya ada buat ikatan terpelihara.

Untuk itu wahai para Mujahid dan Mujahidah. jika kalian belum berkahwin, kejarlah Allah sebelum mengejar CINTA ADAM dan HAWA. Tanpa redha Allah S.W.T, andai dirinya kau nikahi sekalipun,kau pasti tidak akan bahagia. Percayalah. Sia-sia segala usaha yang kau curahkan atas dasar yang tidak diredhai oleh Allah. Ianya hanya mampu melupukan berkat daripada hidupmu. Peliharalah kesucian CINTA yang kerap diuji di alam remaja. Cintailah Allah, nescaya CINTA pasangan soleh turut kau miliki.


Andai dirimu jatuh CINTA katakanlah prinsip dirimu dengan hadis ini:

'Sesiapa yang jatuh CINTA, lalu dia memelihara kesucian dirinya dan bersabar hingga meninggal dunia maka,dia adalah seorang yang syahid'
Riwayat Hakim Ibn Asalari Al Dailami dan lain-lain

Seorang penyair arab berkata tentang bahana CINTA

Cinta merupakan anugerah takdir,
pertama kali datang terlihat bak air yang tenang,
namun ketika seseorang yang bersangkutan menerjuninya,
tenggelamlah ia di dalamnya, tak tertolong lagi.


Berikanlah CINTAmu pada yang layak menerimanya. CINTAI dia kerana agama pada dirinya kerana itu jaminan bahagia buatmu dunia dan akhirat. Daripada Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda:

Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara kerana hartanya dan kerana keturunanya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang mempunyai ( mengamalkan) agama, ia menyenangkan kamu.

Itulah ukuran yang diajar oleh Rasullulah S.A.W. Berbahagialah dirimu dan semoga dirimu diCINTAI oleh ALLAH.

"Aku mencintaimu kerana agama
jika hilang agamamu dan dirimu,
maka hilanglah CINTAKU padamu..
 (Imam Al-Nawawi)




Harga keindahan HIJAB

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki. Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita. Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum.

Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia. Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.
 
Tidak lengkap dan sempurna. Malah menambahkan FITNAH !!
Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.
 
Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. 
 
Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.
Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. 
 
 
Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung? Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya. Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. 
 
Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain.

Tudung di Luar dan Dalam
Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian. Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah.
 
Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam.
 
Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.
 
 
 

Duhai Mujahidah Solehah

Wanita solehah itu aurat dijaga,
Pergaulan dipagari,
Sifat malu pengikat diri,
Seindah hiasan di dunia ini.

Keayuan wanita solehah itu,
tidak terletak pada kecantikan
wajahnya,
Kemanisan wanita solehah,
tidak terletak pada kemanjaannya,
Daya penarik wanita solehah itu,
Bukan pada kemanisan bicaranya yang
mengoncang iman para muslimin,
Dan bukan pula terletak pada
kebijaksanaannya bermain lidah,
memujuk rayu,

Bukan dan tidak sama sekali,
Kepetahan wanita solehah,
Bukan pada barang kemas atau perihal
orang lain,
Tapi pada perjuangannya meningkatkan
martabat agama.

Nafsu mengatakan wanita cantik dengan
paras rupa yang indah bak permata yang
menyeri alam,
Akal mengatakan wanita cantik
atas kemajuan dan kekebalannya dalam ilmu
serta pandai dari segala aspek,
Hati menyatakan kecantikan wanita hanya
pada akhlaknya,
Itupun seandainya hati itu bersih
untuk menilai.

Wahai wanita jangan dibangga dengan
kecantikan luaran,
kerana satu hari nanti ianya akan lapuk
di telan zaman,
Tetapi jaga dan peliharalah kecantikan

dalaman,
Agar diri ini bersih dan
sentiasa mendapat Rahmat ilahi,

Wahai wanita jangan berbangga dengan
ilmu duniawi yang kau kuasai,
kerana ada lagi manusia yang lebih
berpegetahuan darimu,
Wahai wanita jangan pula berdukacita
atas kekurangan dirimu,
kerana ada lagi insan yang lebih malang
darimu,
Wahai wanita solehah jangan dirisau
akan jodohmu,
Kerana muslimin yang bijaksana itu
tidak akan terpaut pada wanita hanya
kerana kecantikannya,
Bersyukurlah diatas apa yang ada,
Serta berusaha demi keluarga, bangsa
dan agama.

Salam perjuangan buat sahabiahku sekalian..
Peliharalah dirimu duhai serikandi Islam..
Ketahuilah dirimu amat istimewa..
Hiasi diri dengan akhlak yg indah..serta pakaian takwa...
Kerana dirimu begitu berharga...
 

Monday, 9 May 2011

Aku Wanita Mujahidah Sejati..

Aku Wanita Mujahidah Sejati..
Yang tercipta dari tulang rusuk lelaki  yang berjihad,
Bilakah kan datang seorang peminang menghampiriku mengajak untuk berjihad
Kelak ku akan pergi mendampinginya  di bumi Jihad

Aku telah bersiap sedia dengan semua syarat yang diajukannya
Cinta Allah, Rasul dan Jihad Fisabilillah
Aku rela berkelana mengembara dengannya lindungi Dienullah
Ikhlas menyebarkan dakwah ke penjuru bumi Allah

Tak mungkin ku pilih dirimu jika dunia lebih kau damba
Terlupa kampung halaman, sanak saudara bahkan harta yang terpendam
Hidup terasing asalkan di akhirat bahagia
Bila aku setuju dan kaupun tidak meragukanku
Bulat tekadku untuk menemanimu

Aku Wanita mujahidah pilihan
Yang mengalir di nadiku darah lelaki yang berjihad
Bilakah kan datang menghampiriku seorang peminang yang penuh ketawadhu`an
Kelak bersamanya kuharungi bahtera lautan jihad

Andai tak siap bisa kau pilih
Agar kelak batin, jiwa dan ragamu tak terusik
Terbebani dengan segala kemanjaanku, kegundahanku, kegelisahanku terlebih keluh kesahku
Sebab meninggalkan dakwah kerana lebih mencintaimu
Dan menanggalkan pakaian taqwaku kerana laranganmu

Tak mungkin aku memilihmu
Bila yang fana lebih kau cinta
Lupa akan kemilau dunia dan remangnya lampu kota
Lazatnya makanan dan lajunya makar durjana
Meniti jalan panjang di medan jihad
Yang ada hanya darah dan airmata tertumpah serta debu yang beterbangan
Keringat luka dan kesyahidan pun terulang

Jika masih ada ragu tertancap dihatimu
Teguhkan azamku untuk lupakan dirimu

Aku wanita dari bumi Jihad
Dengan sekeranjang semangat berangkat ke padang jihad
Persiapkan bekal diri menanti pendamping hati, pelepas lelah serta kejenuhan
Tepiskan semua mimpi yang tak bererti

Adakah yang siap mendamaikan hati?

Kerana tak mungkin kulanjutkan perjalanan ini sendiri
Tanpa peneguh langkah kaki dan pendamping perjuangan
Yang melepaskanku dengan sepotong doa
Meraih syahid adalah tujuan utama Robbi..

Terdengar panggilanMu untuk meniti jalan redha-Mu
Ku harapkan pertolongan dari Mu…
Menemani perjalanan ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...